27 Oktober 2008

Bagaimana barangan penjagaan kulit boleh memudaratkan kesihatan?

Walaupun secara umumnya barangan kosmetik selamat digunakan, namun kehadiran campuran bahan kimia tertentu boleh memberikan kesan mudarat apabila tersalah guna. Ini disebabkan setiap satu barangan ini mengandungi pelbagai bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna sekiranya terdedah pada jangkamasa yang lama.

Oleh yang demikian, senarai kandungan bahan kimia yang tercatat pada label barangan kosmetik merupakan maklumat penting bagi seseorang doktor dalam merawat kes keracunan yang berpunca daripada bahan tersebut.



Pemutih Kulit

Barangan pemutih kulit biasanya mengandungi bahan aktif hidrokuinon dalam kepekatan 1-5 peratus dan amat berkesan untuk menghilangkan tompokan hitam pada kulit.


Selain hidrokuinon, terdapat bahan aktif lain yang digunakan termasuk monobenzil dan monometil eter hidrokuinon, raksa, asid askorbik dan peroksida. Bahan tambahan lain yang digunakan ialah air, gliseril stearat, gliserin, asid stearik dan pewangi.


Hidrokuinon hanya memberi kesan sampingan yang sedikit sekiranya digunakan pada kepekatan yang rendah. Namun begitu, pengguna akan mengalami kesan terbakar jika menggunakannya secara berlebihan ataupun pada kepekatan tinggi. Penggunaan dalam jangkamasa yang lama, disertai pula oleh pendedahan kepada cahaya matahari boleh mengakibatkan penghasilan tompokan dan bonjolan kekuningan pada kulit yang dikenali sebagai okronosis.


Hidrokuinon bukan sahaja merbahaya pada bahagian luaran, malahan ia boleh menyebabkan keracunan yang serius sekiranya termakan. Pengam-bilan sebanyak 5 hingga 15 gram hidrokuinon boleh menyebabkan mangsa menggeletar, gelugut atau sawan dan mengalami kerosakan sel darah merah.

Krim dan losyen

Barangan pembersih kulit pada asasnya ialah emulsi minyak dalam air yang terdiri daripada campuran minyak, lemak atau lilin yang juga digunakan sebagai pencuci. Selain itu barangan ini juga mengandungi bahan pelembap, pewarna yang dibenarkan, pewangi dan pengawet. Produk ini dikelaskan sebagai tidak merbahaya jika tertelan. Namun begitu, sekiranya tertelan dengan jumlah yang banyak ia boleh meng-akibatkan gangguan pada perut. Kajian juga menunjukkan bahawa barangan ini tidak menyebabkan radang kulit.

Krim pelindung sinar matahari

Pemilihan krim pelindung matahari yang sesuai adalah bergantung rapat dengan jenis kulit seseorang serta tempoh pendedahan kepada sinaran matahari. Namun begitu, sebelum menggunakan sebarang krim pelindung matahari, pengguna haruslah terlebih dahulu mendapatkan nasihat terperinci tentang kesannya dari ahli profesional perubatan seperti doktor atau ahli farmasi. Asid para-aminobenzoik (PABA) merupakan bahan kimia pelindung matahari yang efektif. Malangnya pemerhatian dari pengguna krim PABA menunjukkan peningkatan kes alahan, kerengsaan kulit dan meninggalkan kotoran pada pakaian.

Salah satu bendasing yang terdapat di dalam PABA ialah padimate-O yang dikenalpasti boleh menghasilkan nitrosamin yang telah dikaitkan dengan kejadian kanser. Namun demikian, hasil kajian penggunaan nitrosamin terhadap haiwan ujian menunjukkan tiada kesan kanser berlaku.

Sabun

Sabun boleh didapati dalam bentuk buku atau cecair. Ia mengan-dungi bahan pencuci, pelembab, minyak galian dan sayur, pewangi, dan pewarna. Sesetengah sabun buku mengandungi agen anti bakteria. Sabun dikelaskan sebagai bahan tidak toksik. Walau bagaimanapun, sekiranya tertelan, sabun boleh menyebabkan mangsa mengalami radang perut, mual dan muntah. Secara umumnya sabun bukan penyebab radang kulit. Namun begitu, sekiranya terdedah terlalu lama, tangan akan menjadi keringan dan mengalami sedikit keradangan.

Bedak

Barangan bedak termasuk bedak debu dan bedak badan mengandungi bahan-bahan seperti talkum, kanji atau kedua-duanya sekali dengan disertakan karbonat bukan organik, zink stearat, kaolin, pewangi dan mungkin juga pengawet. Secara amnya, bedak jenis ini, dianggap tidak berbahaya. Namun begitu jika dihidu dengan banyak boleh menyempitkan saluran pernafasan.

SUmber : Kementerian Kesihatan Malaysia

http://www.dph.gov.my/ncd/klinik/tips_remaja.html

1 ulasan:

Angin Selat Melaka berkata...

Assalamualaikum...
Kulit ni kesihatan dia banyak terhasil di sebaliknya - iaitu dalaman wajah. Cara terbaik penjagaan kulit adalah dgn memberi fokus men-singkirkan kuman serta kotoran disebalik wajah. Cara paling berkesan adalah dgn mengunakan teknik di:

Panduan kesihatan Kulit yg Sebenar

Semoga berjaya mempunyai kulit cantik. Tq.